,

Sastera Quotes

Quotes tagged as "sastera" Showing 1-12 of 12
T. Alias Taib
“kerjaku mengajuk tabiat alam.
sudah tiga dekad aku berusaha
meniru tutur angin dan hujan,
melakar marah ribut dan amuk laut.
aku juga turut memindahkan
susunan batu ke dalam susunan kata,
yang bertahun kelu yang bermata sayu
memandang sungai dan pantai.

(Zeroks)”
T. Alias Taib, Petang Condong

Ridzuan Harun
“Ketika siasah kita sering berkocak
dan terkadang memberi bara
sastera kitalah yang sering
mendamaikan dan membalut
luka kita.”
Ridzuan Harun

Siti Zainon Ismail
“Memang rumah kita
hanya buku
rak kayu goyang
lantai reput beranai
buku sasterawan
di mana wasiat kami tinggalkan
tergantung di arkib
atau daun mimpi.

(Rumah Sastera Kita)”
Siti Zainon Ismail, Surat Dari Awan

Siti Zainon Ismail
“Kuberi kepada kamu
ya bangsa kami
rumah sastera kita
silakan naiklah ke tangga.

(Rumah Sastera Kita)”
Siti Zainon Ismail, Surat Dari Awan

Syed Muhammad Naquib al-Attas
“Maka dari itu kita lihat bahwa perkembangan “pengajian Melayu” ini semenjak timbulnya institusi2 ilmiah di Semenanjung Tanah Melayu hanya menyentuh soal kedaerahan; soal pengkajian persuratan Melayu, menganjurkan perkembangan tulisan Rumi, penumpuan kepada bidang antropoloji dan linguistik yang sempit, penumpuan kepada hal2 yang se-olah2 membantutkan pengajian Melayu, menjadikannya se-olah2 sebahagian dari pengkajian kebudayaan2 yang belum dewasa. Hal yang demikian juga telah mengakibatkan timbulnya golongan pujangga dan penuis yang telah bertindak memutuskan diri dari yang lampau sebab yang lampau itu digambarkan sedemikian buruknya. Dan seterusnya, inilah yang menimbulkan masalah kekurangan pengetahuan kita dewasa ini.”
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Buku Panduan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu

Syed Muhammad Naquib al-Attas
“Justru sesungguhnya akibat konsep yang singkat mengenai tinjauan dan luasan pengkajian bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu itu, sehingga disamarkan hanya sebagai “Pengajian Melayu”, telah pula membawa akibat2 yang mempengaruhi penyingkiran bidang ilmiah tertentu dari pengajian Melayu, seperti pengkajian2 bahasa dan kesusasteraan Arab, bahasa dan kesusasteraan Farsi, bahasa dan kesusasteraan Sanskrit, yang kesemuanya telah memberi sumbangan yang berkesan dalam perkembangan bahasa dan kesusasteraan Melayu. Tambahan pula, bidang2 seperti sejarah pemikiran, falsafah, dan ilmu2 yang berkaitan dengan metodoloji penyelidikan ilmiah, kajian2 mengenai teori2 yang memang berkembang dengan pesatnya di Eropa, dewasa itu dan sekarang, semua ini diabaikan dalam pengkajian bidang2 kechil tertentu saja.”
Syed Muhammad Naquib al-Attas, Buku Panduan Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu

T. Alias Taib
“yang kaunamakan bakat
barangkali tidak lain dari
egomu yang menggoda
kata-kata yang terbentuk
dari igauan tengah malam
atau pagar yang terpacak
di sekeliling namamu
dalam simbahan sinar lampu

(bakat)”
T. Alias Taib, Opera

T. Alias Taib
“yang kausangkakan bakat
barangkali tidak lebih dari
banjiran perasaan yang mengapung kosong
bagai sampah-sarap meriak
ditolak ombak
mendesak dari dalam dadamu
atau banjaran impian di puncak gunung
dibalut kabut
tegak menusuk kulit kepalamu

(bakat)”
T. Alias Taib, Opera

“Sumber yang paling utama sebagai rujukan kesusasteraan spiritual di seluruh dunia Islam itu dan yang paling penting ialah al-Qur'an sendiri, diikuti dengan hadis Rasulullah terutamanya hadis Qudsi dan hadis yang berkaitan dengan fahaman dan doktrin spiritual. Selepas itu fahaman-fahaman metafizikal dan juga kosmologikal, doktrin yang telah dirumus oleh ahli-ahli metafizik Islam dan doktrin para wali Sufi berasaskan sumber keagamaan dan fahaman tradisional yang tidak bercanggah dengan doktrin spiritual kaum Sufi.”
Baharudin Ahmad, Al-Qasidah Al-Maymunah

“Shaykh al-Jundi hanya seorang dari pewaris sastera jenis ini di dalam sejarah sastera Sufi yang muncul di dalam abad ke-19. Tema utama qasidah ini kekal di dalam rangka tradisi sastera Islam yang lampau oleh kerana tidak mungkin kekal 'tamaddun Islam' itu jika ia diasingkan dari tradisi yang menerbitkan jenis puisi yang sebegini rupa. Umumnya tamaddun agama berasaskan prinsip asal dengan aspek-aspek dan ciri-ciri baharu yang ditambah tanpa penambahan prinsip.”
Baharudin Ahmad, Al-Qasidah Al-Maymunah

“Dengan menggunakan konsep ruang naratif, seorang penganalisis akan dapat membezakan dengan mudah sebuah karya sastera, yang mengutamakan cerita, dengan karya persuratan, yang mengutamakan wacana. Dari situ akan lebih mudah dilihat bagaimana seorang pengarang membina novelnya, dan memberi makna kepada setiap aspek teknik yang dipilihnya. Melalui penggunaan konsep ruang naratif, seorang penulis novel akan dapat menentukan dari awal lagi bagaimana bentuk novelnya, jenis cerita yang akan dikemukakannya, dan bagaimana cerita itu dikembangkan melalui analisis wacana yang menjadi paksi naratif novelnya.”
Mohd Affandi Hassan

“Penerapan gagasan Persuratan Baru dalam analisis, penilaian dan kritikan sastera akan mengubah cara kita memandang dan memahami kesusasteraan setelah konsep persuratan diberi penekanan dna kedudukan baru dalam penulisan kreatif.”
Mohd Affandi Hassan